Saturday 31 May 2014

Kad Kredit

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Alhamdulillah pagi yang indah hari ini. Rutin mengemaskini blog & FB dulu. Ramai tertanya-tanya kenapa saya hendak mencari pendapatan lain sedangkan gaji sebagai pengurus sudah mencukupi. Ingin saya kongsikan sesuatu di sini mengenai pengalaman saya yang menyebabkan saya memerlukan duit tambahan untuk menampung keperluan.
Kad kredit adalah punca utama kenapa saya masih memerlukan pendapatan sampingan. Pada mulanya memanglah senang untuk memohon kad kredit. Lepas itu apa sahaja hendak dibeli. Walaupun ketika itu duit tiada. Seolah-olah beli tiada batasan. Namun lama kelamaan ia memakan diri. Ini kerana hutang kad kredit ini akan bertambah kerana caj akan dikenakan kepada baki hutang itu & yuran tahunan. Ini adalah pengajaran yang amat berguna. Alhamdulillah kini cuma tinggal sedikit sahaja hendak dilangsaikan.
Kebanyakan orang muda sekarang diisytiharkan musflis & menghadapi masalah kewangan disebabkan kad kredit. Pengunaan yang tidak tentu & perasaan untuk membeli tidak terhad kerana sudah tersemat dalam minda ada kad kredit.
Penggunaan kad kredit ada baik & buruknya. Yang baiknya adalah di waktu kecemasan di mana kita memerlukan kewangan disebabkan kemalangan atau sebagainya. Namun adalah lebih baik kita menguruskan kewangan dengan menyimpan duit untuk perkara yang perkara kecemasan.
Oleh itu jika ingin memohon kad kredit atau ditawarkan kad kredit, berfikirlah dahulu. Jangkamasa pendek memanglah seronok tetapi jangka masa panjang akan membebankan kita. Jangan terpedaya dengan apa yang ditawarkan kerana kelak akan memakan diri jika kita tidak pandai menguruskankan penggunaan kad kredit.
Oleh itu marilah kita menguruskan kewangan dengan baik. Berfikirlah positif & senyumlah selalu.

Friday 30 May 2014

Sembelit

Teks: Nur Farha Binti Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Hari ini saya ingin kongsikan tajuk sembelit. Sembelit apabila kekerapan membuang air besar menjadi kurang & sukar. Pembuangan air besar adalah berbeza untuk setiap individu. Ada yang 3 kali sehari & ada pula yang 2 kali seminggu. Namun jika lebih 3 hari tanpa membuang air besar itu sudah terlalu lama. Ini kerana najis akan mengeras & menyukarkan proses pembuangan air besar.
Antara tanda-tanda sembelit adalah tidak membuang air besar selama beberapa hari. Atau membuang air besar tetapi najis kering & keras. Individu itu juga akan merasa perut kembung, sakit & kejang.
Antara sebab berlaku sembelit adalah kurang pengambilan air & fiber di dalam diet, perubahan rutin kehidupan disebabkan melancong, mengandung atau penuan & kurang aktiviti cergas atau bersenam. Stress, pengunaan bahan laksatif keterlaluan sehingga melemahkan sistem pembuangan air besar serta menahan atau melengahkan pembuangan air besar ketika ada kemahuan untuk membuang juga adalah faktor menyebabkan sembelit.
Antara langkah mudah mengelakkan sembelit adalah minum air yang banyak & secukupnya & meningkatkan makanan berserat atau fiber dalam diet. Contohnya makan lebih banyak buahan, sayuran & bijiran yang tinggi kandungan serat. Anda juga digalakkan melakukan senaman berkala & melakukan aktiviti cergas. Paling mudahkan banyakkan bergerak & berjalan. Jangan menahan jika ada rasa ingin membuang air besar.
Jika anda mengalami masalah tidak membuang air besar yang terlalu lama, dinasihatkan untuk berjumpa doktor. Masalah pembuangan berterusan akan menyebabkan buasir.
Selamat mencuba & senyumlah selalu.

Thursday 29 May 2014

Semangat Membara

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Rasanya baru setengah bulan saya menyertai Kelas Online yang ditawarkan dalam Akademi Bekerja Di Rumah. Alhamdulillah, semakin hari semakin termotivasi & berdisplin tidak kiralah tugasan di rumah, tempat kerja atau tugasan yang diberikan Cikgu Anys Idayu Zakaria.
Dulu cuma berangan-angan & berniaga tiada hala tuju. Tiba-tiba hati terpanggil untuk berubah. Kenapa tidak berniaga dengan bersungguh-sungguh? Tiba-tiba terfikir apa hendak dijual? Mana ada masa hendak buat produk jualan?
Allah bukakan jalan untuk bertanya kepada Cikgu Anys Idayu kebetulan ada di Facebook. Akhirnya dengan keizinan suami, saya mengorak langkah untuk mengikut kelas yang ditawarkan.
Setelah membuat beberapa blog walaupun kadang kala terpaksa sebab sudah saya tetapkan sehari mesti ada 1 entri, lama kelamaan saya merasa seronok. Tambahan sokongan dari sahabat samada secara terus & online.
Semoga momentum ini berterusan meningkat & tetap bersemangat walaupun pelbagai cabaran bakal mendatang.
Berfikirlah positif & senyumlah selalu

Taska

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Alhamdulillah baru sahaja hantar Afeeq & Marsya ke rumah ibu saudara merangkap pengasuh ketika hujung minggu & cuti am. Maklumlah taska hanya ikut waktu bekerja kerajaan. Kami suami isteri dalam bidang jualan atau retail ini, waktu orang lain cuti waktu itulah kami bekerja. Sudah jadi kebiasaan saya selama 9 tahun bekerja.
Kadangkala ada orang bertanya tidak rugi ke hantar taska sebab dalam seminggu hantar 2 atau 3 hari sahaja. Saya menjawab saya tidak merasa rugi pun. Saya anggap yuran taska yang dibayar ikhlas kepada mereka yang jaga anak-anak saya. Saya tidak mahu berkira sebab saya bersyukur ada tempat yang boleh jaga anak-anak dengan baij. Malah pengasuh di sana jujur. Kalau apa terjadi pada anak saya,  mereka akan beritahu. Pernah Afeeq terjatuh sebab bermain dan kepalanya benjol, pengurus taska terus SMS saya.
Saya juga rasa bersyukur mereka sudi menjaga jika anak saya demam & saya terpaksa bertugas. Anak-anak saya pun tiada masalah dengan pengasuh di sana.
Selepas saya melahirkan Afeeq, agak susah untuk mencari pengasuh. Namun saya bernasib baik kerana bekas pekerja saya ada menguruskan sebuah taska. Saya pernah membuat tempahan untuk tempat Afeeq. Dua minggu sebelum saya mulakan tugas, saya pergi melawat taska dahulu. Mahu melihat dahulu suasana taska. Saua berpuashati & bersetuju untuk menghantar di sana. Semasa Afeeq 5 bulan, saya disahkan mengandung lalu menempah untuk anak kedua. Saya tempah awal sebab mereka hanya mengambil maksimun 3 bayi sahaja.
Saya akui risau juga pada awalnya hendak menghantar ke taska sebab pelbagai cerita buruk mengenai taska. Tetapi setelah selidik taska itu didaftarkan & melihat sendiri keadaan taska & pengasuh, saya yakin anak boleh dijaga dengan baik. Para ibu yang bekerja yang ingin menghantar anak ke taska, saya nasihatkan selidik dahulu & pastikan taska itu berdaftar. Buatlah lawatan mengejut jangan beritahu untuk mengetahui keadaan sebenar taska.
Berfikirlah positif & senyumlah selalu.

Wednesday 28 May 2014

Tips Meningkatkan Selera Makan Anak-anak

Teks: Nur Farha Binti Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Makan secara sihat & seimbang sukar dicapai untuk kanak-kanak. Ini kerana mereka jarang boleh mengikut apa yang dinasihati terbaik untuk mereka makan. Kadangkala mereka tidak makan langsung atau kurang selera makan. Kebanyakan mereka lebih suka memilih makanan atau 'picky eater'. Perkara ini merisaukan kebanyakan ibubapa.Dalam pasaran juga terdapat lambakan makanan ringan yang menjadi pilihan mereka berbanding makanan sihat seperti sayuran & buahan.
Di sini, saya ingin kongsikan bagaimana ingin meningkatkan selera makan & menberikan mereka makanan seimbang. Pertama, jadikan masa makan itu seronok. Bagaimana? Cipta menu yang menarik & berwarna warni. Gunakan kreativiti kita untuk membentuk pinggan anak-anak dengan susun atur yang menarik. Tidak susah kerana sayuran & buahan terdapat pelbagai warna.
Persekitaran pemakanan juga kenalah tenang. Dudukkan anak anda di meja makan semasa makan. Elakkan dari mereka berlari-lari atau bermain pada waktu makan.
Menggalakkan anak-anak membantu dalam penyediaan makanan. Contohnya, basuh sayuran, letak makanan di dalam periuk atau mencorak makanan mereka di atas pinggan. Tapi awas, ibubapa mestilah berada di samping mereka bagi menggelakkan kemalangan yang tidak diingini. Ini kerana mereka akan teruja untuk makan makanan yang mereka sediakan sendiri.
Galakkan anak-anak makan pelbagai pilihan makanan yang sihat dan kurangkan makanan ringan. Di sinilah peranan penting kita seperti entri saya Mencorak Pemakanan Anak-anak yang lepas. Dalam menggalakkan mereka makan sihat kita juga perlu ubah cara pemakanan kita. Janganlah kita mementingkan diri kita. Tiba masanya kita makan secara sihat. Ini juga untuk masa depan kita & anak-anak kit. Ingatlah pemakanan sihat boleh mengurangkan risiko penyakit.
Paling penting adalah makan bersama. Kita perlu meluangkan waktu untuk makan bersama-sama. Ini akan meningkatkan selera makan anak-anak.  Disamping itu juga meluangkan masa berkualit dengan mereka. Untuk 15 atau 30 minit, jauhkan telefon anda walau sepintar mana telefon anda.
Selamat mencuba & senyumlah selalu.

Persediaan Untuk Berniaga

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, hari ini dapat pembekal untuk jualan raya nanti. Sampel pun sudah dibeli. Bukan mudah untuk meyakinkan orang untuk membeli jika tiada sampel. Saya lebih suka memberikan kepuasan kepada bakal pelanggan saya. Paling penting saya ingin pelanggan datang kembali membeli dengan saya.
Setelah berbincang dan mendapatkan harga yang terbaik, saya pun teruslah pergi membeli buku lejar, resit & buku nota. Dulu pernah berniaga tetapi semua sekadar hobi. Namun sekarang, saya merasakan penting untuk saya berniaga secara serius walaupun secara kecil-kecilan. Perlu tahu keluar & masuk duit. Saya juga berkira-kira untuk membuka akaun khas supaya duit ini tidak bercampur.
Insya Allah, esok akan saya mulakan pemasaran. Sebagai permulaan ini, kumpulan sasar agak kecil kerana memikirkan kos. Paling penting saya perlukan perancangan yang teliti.
Semoga permulaan ini akan menjadikan saya lebih berdisplin & belajar untuk menguruskan kewangan saya. Positifkan diri & senyumlah selalu.



Tuesday 27 May 2014

Cuti Bersama

Teks:Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Alhamdulillah,  hari ini bercuti bersama suami setelah seminggu lebih suami tidak dapt bercuti kerana ada perkara penting di tempat kerja. Hari ini merancang untuk menghabiskan masa dengan Afeeq & Marsya. Jadi saya akan kemaskini blog malam nanti.
Saya juga akan mengambil sampel popia & biskut untuk jualan raya petang ini. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sejak menetapkan matlamat, saya mula mencari peluang untuk berjinak-jinak berniaga.
Positifkan diri anda & senyumlah selalu.

Monday 26 May 2014

Ubah Persepsi Kita

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum,
Bagaimana hari anda? Moga-moga ceria & positif. Alhamdulillah, mari kita panjatkan kesyukuran kepada Allah dengan nikmat & rahmat yang dikurniakan pada kita.
Sekadar berkongsi, pernah seorang sahabat berjumpa dengan saya meluahkan perasaannya terhadap politik kerja. Biasalah mana-mana pun mesti ada perkara ini cuma bagaimana kita menghadapinya. Dia mengatakan sudah tidak tahan lagi. Tapi apakan daya terpaksa bekerja memikirkan belanja makan pakai anak.
Lalu saya cuma memberikan pendapat bagaimana mengatasi permasalahan ini.
Pertama adalah niat kerja. Sematkan niat yang betul, kenapa kita bekerja. Niat kerana Allah & membantu suami. Insya Allah niat yang baik Allah akan bantu kita.
Keduanya, doa paling penting. Sewaktu pergi berkerja kita panjatkan doa agar dipermudahkan segala urusan & dijauhkan dari segala keburukan & kejahatan. Berdoa juga setiap kali selepas solat. Insya Allah, Allah akan sentiasa bersama kita.
Seterusnya, elakkan melabel orang lain. Contohnya,  orang ini nak jatuhkan kita, orang ini yang dengki kita.  Elakkan kerana ini akan lagi menyakitkan hati kita. Walaupun kita tahu mungkin seseorang ada niat tidak baik tetapi kita jangan fikirkannya. Biarlah dia anggaplah dia orang yang baru kita kenal & doakan untuknya supaya Allah menunjukkan jalan kepadanya. Kita kena ingat orang yang berniat jahat pada kita kalau melihat kita susah & berduka lara, mereka akan bertepuk tangan kegembiraan. Jadi berfikirlah positif & sentiasa ceria.
Elakkan dari membalas semula perkara yang tidak baik orang lakukan kepada kita. Biarlah apa yang mereka buat & perkatakan selagi tidak mengganggu kerja seharian & keselamatan kita. Jika kita bertindak balas seolah-olah kita telah memberikan kemenangan untuk mereka.  Cuba selidik kembali & analisa apa yang diperkatakan. Kadangkala benar & kita berubah kepada yang lebih baik. Ingatlah jika kita cepat melatah, kita hanya meletakkannya diri kita di bawah.
Tingkatkan prestasi kerja kita. Sentiasa mematuhi dateline, sentiasa cemerlang dalam setiap tugasan yang diberikan. Elakkan dari mengatakan kalau buat bagus pun bukan bos tengok.  Fikiran negatif ini hanya akan mengurangkan motivasi kerja anda. Lama kelamaan akan menyebabkan anda bekerja sambil lewa.
Dalam diri kita juga kena diperbetulkan. Janganlah ada niat untuk mengenakan orang atau dengki terhadap rakan sekerja. Binalah semangat bekerjasama dalam satu pasukan.
Kerja ikhlas bukan sebab bos. Ramai antara kita kerja sebab bos ada. Bila bos tiada semua tunggang langgang. Jika kita ikhlas & amanah terhadap kerja kita, semasa ada atau ketidaan orang atasan, semua akan siap & terjaga.
Berfikir positif, tetapkan niat kita & senyumlah selalu.



Sunday 25 May 2014

Mencorak Pemakanan Anak-anak

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Kanak-kanak memerlukan pemakanan seimbang bagi tumbesaran mereka. Ingin saya berkongsi di sini permulaan bagi pemakanan mereka sejak bayi lagi. Pada usia enam bulan, bayi akan mula diperkenalkan dengan makanan yang lembut kerana bayi tidak lagi mempunyai gigi lagi.
Selalunya bagi masyarakat kita akan menyediakan bubur untuk bayi kita. Pastikan kita tidak menggunakan garam, gula atau perisa tambahan untuk makanan mereka. Ini adalah tidak sesuai dengan mereka. Kadangkala terdetik di hati kasihan kerana tiada rasa tetapi itulah terbaik untuk mereka. Jika kita sudah mengajar mereka untuk merasa mereka akan memilih makanan mereka. Dengan menggelakkan penggunaan garam & gula juga mengajar mereka untuk pemakanan yang sihat dikemudian hari.
Sayuran dan buahan juga perlu diperkenalkan awal kepada mereka. Jangan disebabkan ibu bapa tidak memakan sayuran & buahan, kita tidak memberikan mereka sayuran & buahan. Ini adalah satu kesalahan ibubapa kerana mengabaikan perkara ini. Mungkin ini juga boleh membantu ibubapa untuk mengubah corak pemakanan mereka. Peranan ibubapa amat penting dalam mencorak pemakanan anak-anak.
Apabila anak-anak diberikan sayuran & buahan semenjak bayi, mereka tidak kekok dan memilih makanan. Kita perlu memberikan makanan mengikut kesesuaian umur bayi. Pada peringkat awal elakkan makanan yang berasid, kekacang, telur, udang & kekerangan. Ini adalah kerana sistem pencernaan mereka baru berfungsi menerima makanan & menggelakkan berlakunya alergi.
Jika pemakanan kita sebagai ibubapa sekarang tidak seimbang & kurang mengambil sayuran & buahan, sudah tiba masanya untuk kita berubah demi anak-anak kita.
Pemakanan anda mencorak pemakanan anak-anak anda. Selamat mencuba & senyumlah selalu.


Anak Oh Anak

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Baru sahaja merancang nak update pasal detoxs sambung yang lepas. Tidak berkesempatan.  Tadi sudah elok sahaja anak- anak tidur. Selesai mengemas & membersihkan diri terdengar pula tangisan Marsya. Afeeq pula masih tidur. Hari ini cuti tapi sayang sekali suami terpaksa bertugas.
Perancangan awal hari ini hendak menyiapkan blog sudah lama terbengkalai. Nampaknya malam ini terpaksa minta jasa baik suami untuk bagi ruang masa sendiri menyudahkan tugasan diberikan. Minta tolong jagakan anak-anak. Mereka pantang melihat mummy mereka dengan komputer riba atau telefon pintar.Tidak jadi kerja nanti. Mereka juga sudah pandai mengambil perhatian. Oleh kerana itu bila di rumah telefon jarang digunakan.
Semoga hari ini lebih baik dari semalam.  Senyumlah selalu.

Saturday 24 May 2014

Hari-hariku

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum,
Alhamdulillah, Allah memberikan kesempatan untuk menghirup udara di dunia ini. Pagi ini macam biasa jika bekerja pagi, saya akan menghantar Afeeq & Marsya ke taska kecuali Jumaat & Sabtu ke rumah makcik. Maklumlah taska hanya ikut waktu bekerja kerajaan. Kerja di dunia jualan ni pula cutinya pada hari biasa. Namun saya rasa bersyukur sebab makcik saya sudi menjaga walaupun di lewat usianya.
Paling mencabar adalah kami suami isteri bekerja shif. Sebelum bulan akan datang, kami akan memastikan jadual kami tidak bertindih terutama pada waktu petang. Tetapi kalau bertindih di waktu pagi, kelebihan untuk kami kerana dapat menghabiskan masa bersama.  Alhamdulillah, dengan merancang awal,  kami tiada masalah terutama mengambil anak-anak di taska pada waktu petang.
Apa yang penting pada kami adalah perancangan awal & bertolak ansur. Suami juga tidak kekok menjaga mereka.
Entri akan datang, saya akan kongsikan cabaran kami sekeluarga dengan jadual yang padat. Perlu memulakan tugas pagi ini.
Sentiasa positif & senyumlah selalu.

Asas Penjagaan Muka

Tek: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum.
Saya hendak berkongsi mengenai penjagaan kulit muka. Penjagaan muka amat penting untuk menggelakkan muka nampak tidak berseri & kusam. Asas penjagaan muka adalah membersih, menggunakan penyegar & krim muka. Pada siang hari krim yang digunakan perlu mengandungi SPF atau pelindung matahari. Dalam seminggu anda boleh menggunakan skrub & masker sebaiknya 2 kali.
Sebelum menggunakan produk, saya sarankan anda mengetahui keadaan kulit sebenar kulit anda. Bagaimana? Anda boleh bertanya di kedai kesihatan & kecantikan yang menawarkan perkhidmatan analisis kulit muka. Analisis kulit muka meliputi kandungan air, pH, keratin & pori muka boleh memberikan panduan regimen yang sepatutnya digunakan.
Penggunaan regimen yang betul akan merawat muka yang bermasalah dan menggelakkan berlaku sebarang komplikasi pada kulit.
Berhati-hati memilih regimen untuk kulit muka anda, baca kandungan dahulu. Ini kerana terdapat pelbagai produk di pasaran & ada di antaranya mengandungi kandungan yang berbahaya & boleh merosakkan kulit anda. Anda juga perlu berhati- hati jika kesannya terlalu cepat contohnya terlalu cepat memutihkan kulit atau terlalu cepat mengurangkan kedutan.
Akan saya kongsikan lebih mendalam di lain kesempatan.
Senyumlah selalu.

Friday 23 May 2014

Aduan anda diterima.

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit.

Assalamualaikum
Aduan perkara yang paling tidak disenangi oleh kita. Pengalaman bekerja dalam bidang jualan memang tidak lari dari aduan pelanggan. Aduan sebenarnya benda yang positif. Ini kerana terdapat tindak balas & kita tahu pelanggan itu menyedari kewujudan perniagaan kita.
Realiti aduan selalu terjadi terhadap kualiti khidmat pelanggan kita, produk kita, persekitaran kita. Atau kadangkala pelanggan ingin menguji kita.
Aduan adalah positif kerana pelanggan mengambil berat tentang perniagaan kita. Pelanggan ingin kita melihat apa kekurangan kita & memperbaikinya.  Tidak hairan satu hari nanti pelanggan yang mengadu ini menjadi pelanggan yang setia.
Kadangkala kita silap menilai pelanggan dengan menganggap bila tiada aduan pelanggan sudah berpuasa hati dengan kita. Tanpa kita sedar kadangkala yang tidak mengadu kerana mereka sudah tidak mahu berurusan dengan kita.
Oleh kerana itu kita perlu menitikberatkan aduan pelanggan untuk meningkatkan kualiti khidmat pelanggan, produk atau sebagainya.
Berfikirlah dan berhadapan dengan aduan pelanggan dengan cara yang positif.


Thursday 22 May 2014

Idea Oh Idea

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit Assalamualaikum,
Alhamdulillah, hari ini bangun seawal 3 pagi menyusukan Marsya. Kemudian bersiap untuk pergi ke Kuala Lumpur. Hari ini ada mesyuarat dengan pengurus lain.
Sejak ada blog ni, kepala ini ligat memikirkan apa hendak dikongsi. Namun kesuntukan masa untuk menulis buat sementara waktu ini.
Insya Allah, akan saya kongsikan panduan kesihatan, kecantikan & perkongsian ilmu. Antara tajuk yang telah difikirkan adalah perlukah makanan tambahan atau suplemen, bagaimana menggunakan regimen kulit muka dan pelbagai lagi.
Semalam juga saya sempat mencari peluang untuk mendapat pendapatan sampingan untuk raya nanti. Sambil itu juga membantu seorang sahabat yang baru sahaja berhenti kerja dan memulakan perniagaan popia.
Disamping itu juga, saya mula berjinak dengan dunia pelaburan. Semoga dipermudahkan saya untuk peperiksaan untuk mengambil lesen dijadualkan bulan Jun nanti.
Bersambung di perkongsian lain & senyumlah selalu.


Wednesday 21 May 2014

Detoksifikasi

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit
Assalamualaikum,
Sepanjang saya bekerja di bidang kesihatan & kecantikan ada pelbagai tips kesihatan yang kadang kala kita tidak tahu.Ingin saya berkongsi sesuatu di sini mengenai proses detoksifikasi.
Detoksifikasi atau nama singkatannya detoks adalah pembuangan sisa toksik dari organisma hidup. Kita mempunyai organ yang melakukan detok ini iaitu hati usus dan ginjal.
Mugkin ramai tertanya- tanya kenapa bila mengambil makanan tambahan tetapi lewat keberkesanannya. Ini kerana proses penyerapan telah terganggu di bahagian usus. Proses detoks amat penting dalam hal ini.
Saya selalu menyarankan pelanggan saya untuk menjalani detoksifikasi sebelum mereka mengambil makanan tambahan atau kolagen. Ini dapat membantu meningkatkan kadar penyerapan.
Detoks boleh dilakukan secara semulajadi atau mengambil produk detoks di dalam pasaran seperti teh, fiber atau sebagainya.
Sila baca dengan teliti produk sebelum anda mengambilnya. Ini kerana terdapat kesan sampingan jika kita melakukan proses detoks ini.
Di lain kesempatan saya akan kongsikan bagaimana kita boleh melakukan proses ini.

Selamat mencuba & senyumlah selalu.



Permata Hati

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Saya merancang ingin menulis entri mengenai panduan kesihatan namun masih belum berkesempatan mengumpulkan fakta lagi. Walaupun cuti hari ini sibuk melayan karenah Afeeq & Marsya. Masa inilah dapat lihat betapa seronoknya mereka bermain bersama.
Masing-masing sudah pandai menyakat sesama sendiri.
Afeeq walaupun 2 tahun sudah pandai makan sendiri & sudah nampak sebagai seorang abang. Ada saja diajar pada adiknya. Ciri-ciri seorang pelindung juga sudah mula terbit dalam dirinya.
Marsya pula seorang yang aktif. Ada saja dia lakukan.  Panjat sana, panjat sini. Maklum sajalah baru dapat kaki. Memang saya tidak boleh leka.
Melihat keadaan begini saya merasakan rugi jika saya tidak bersama setiap masa melihat perkembangan mereka. Niat untuk membesarkan & mendidik mereka sendiri semakin membara setiap hari.
Insya Allah, mummy akan kuatkan semangat & berusaha untuk masa depan kita.

Tuesday 20 May 2014

Saya Budak Baru Belajar


Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Barulah dapat menarik nafas lega. Afeeq & Marsya sudah lelap. Huru hara menyiapkan tugasan yang diberikan cikgu Anys Idayu Zakaria. Mana tidaknya anak-anak pun sibuk 'membantu' mummy dengan komputer riba yang satu ini. Marsya pula masih menyusu badan sebelum tidur. Alhamdulillah walaupun sudah setahun masih mahu menyusu badan berbanding Afeeq hanya 3 bulan sahaja.
Tambahan lagi baru pertama kali hendak aktif berblogging. Masih banyak lagi tidak tahu. Banyak juga bertanya pada cikgu tetapi sementara menunggu jawapan, saya cuba jugalah. 'Try & error'. Alhamdulillah, ada yang berjaya.
Tunggu cikgu periksa dahulu. Ada lagi tugasan yang masih tidak siap. Harap dapat sambung esok.
Jangan malu bertanya walaupun perkara itu dirasakan macam soalan yang terlalu mudah. Mungkin kita bukan pakar jadi perlulah berguru dengan yang pakar. Itulah yang selalu saya sematkan. Tidak siapa diri kita, janganlah sombong untuk belajar walaupun dengan siapa pun.
Teringat saya sewaktu bertukar kerja ke syarikat sekarang, saya banyak belajar dari pekerja bawahan saya. Setiap syarikat berbeza sistem & caranya.Walaupun saya sudah memegang jawatan pembantu pengurus ketika itu, saya merasakan penting untuk mengetahui semua proses yang ada dari akar umbinya. Dengan cara ini juga akan timbul rasa hormat menghormati sesama pekerja.
Setiap hari adalah proses pembelajaran. Semoga Allah permudahkan penerimaan ilmu yang diberikan.



Monday 19 May 2014

Positifkah Anda?


Teks: Nur Farha Muhamad Khalit
Assalamualaikum,
Positifkah anda hari ini? Sekadar ingin berkongsi mengapa kadang kala kita merasa malas untuk membuat sesuatu bila bangun dari tidur?
Sebab pertama kita sudah setkan dalam minda perkara negatif. Contohnya, aduhai banyak tugasan hari ini. Ala banyak betul masalah. Alamak kereta rosak pagi ni.
Bila kita sudah negatif di pagi hari akan rosaklah hari kita nanti. Mulalah sakit itu ini. Sakit kepala la, sakit pinggang la. Akhirnya satu tugasan pun tidak dibuat.
Tips mudah hendak saya kongsikan. Bangun pagi kita panjatkan kesyukuran kepada Pencipta kita. Bersyukur sebab Allah masih memberikan kesempatan kepada kita menikmati hidup. Jika semalam ada masalah.  Lupakan sekejap ya. Bersihkan diri & solat.
Senaraikan tugasan anda. Jangan fikirkan penyelesaian sekaligus. Boleh pening kepala nanti. Selesaikan satu per satu. Draftkan penyelesaian ringkas.
Ada masalah di pagi hari? Fikirlah positif. Kawal amarah kita. Tiada guna marah sebab tidak dapat selesaikan apa-apa. Jika buntu sangat jangan sombong meminta petunjuk dariNya.
Insya Allah, jika anda positif segalanya akan jadi positif. Malah kita boleh berkongsi tenaga positif kita dengan orang sekeliling kita. Bila kita positif segalanya mudah. Senyumlah selalu.

Mengenali Diriku


Teks: Nur Farha Muhamad Khalit
Assalamualaikum.
Ini kali pertama menulis di blog. Agak risau dengan penerimaan orang tentang penulisan orang baru seperti saya. Namun saya beranikan jua.
Saya mendapat pendidikan awal di Johor Bahru. Kemudian dapat melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka. Nasib saya baik kerana walaupun keputusan kurang baik saya dapat menempatkan diri di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Pemakanan. Mungkin doa arwah emak setiap kali marah mesti perkataan bertuah punya anak itu termakbul. Pada tahun akhir saya mula rasa tidak sihat. Suara saya hilang akibat batuk berpanjangan. Tapi saya gagahkan jua untuk menamatkan pengajian. Setelah kembali ke Johor Bahru saya disahkan menghidap tibi. Pada masa itu hancur luluh rasa hati. Mana ada majikan mahu ambil saya bekerja. Kebetulan pada masa itu ada kursus bidang sama peringkat sarjana dibuka. Tanpa berfikir panjang saya melanjutkan pelajaran selama setahun. Alhamdulillah saya berjaya memegang Sarjana Sains Pemakanan.
Bermula bekerja dari bawah sebagai pembantu farmasi di salah sebuah rantaian farmasi di Johor Bahru. Tidak lama kemudian mendapat tawaran sebagai Retail Management Trainee di rangkaian kedai kecantikan & kesihatan yang kukuh di Malaysia. Rezeki saya bertambah bila ditawarkan jawatan Pembantu Pengurus di syarikat pasaraya besar. Dengan pengalaman di tempat lama, saya ditempatkan dalam jabatan yang berkaitan kesihatan & kecantikan. Selama 3 tahun saya dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus.
Walaupun asas bidang jualan & pengurusan tiada, saya belajar daripada kerja seharian. Bekerja dari bawah mengenali barang jualan, fungsi produk digabungkan dengan ilmu sains pemakanan saya berjaya memberi nasihat kepada pelanggan. Satu kepuasan bagi saya dapat memberikan layanan & nasihat kepada pelanggan walaupun tidak membeli.
Pernah satu masa saya ditempatkan di sebuah cawangan di Mersing yang jauh dari cawangan lain. Ada perkara terpaksa dilakukan sendiri tanpa bantuan tapi saya cuba lakukan. Saya bersyukur kerana Allah memberikan saya jalan mudah untuk setiap perkara yang susah. Apa yang penting jangan mudah melatah. Teliti dahulu permasalahan, analisa & fikirkan penyelesaian.  Setiap penyelesaian perlu difikirkan risiko. Setelah itu kita perlu ambil keputusan dan analisa kembali keputusan itu. Itu yang saya amalkan.
Saya banyak menguruskan hal pentadbiran, sumber manusia, budget, cara mempromosikan barang. Sebenarnya paling susah adalah pengurusan sumber manusia. Bagaimana untuk mengekalkan staf dan mengurangkan kadar staf berhenti itu perlu dititikberatkan. Saya rasa bersyukur kerana saya tidak mengalami masalah ini. Ini kerana Allah telah memberikan saya keistimewaan utuk memimpin dengan baik. Sebenarnya dari zaman sekolah hinggalah di menara gading saya seorang yang aktif dalam persatuan. Masih ingat lagi setiap malam ketika orang lain sibuk menelaah di kolej, saya sibuk bermesyuarat hingga lewat malam. Walaupun penat tapi itulah kepuasan saya memberikan buah fikiran kepada persatuan saya.
Saya berminat berniaga. Kadangkala terfikir untuk memulakan perniagaan tapi kekangan waktu dengan kerja & keluarga membuatkan semua separuh jalan. Saya pernah menjual tudung yang dibeli secara borong dalam talian tapi mengalami masalah lambakan stok.
Minat saya juga amat mendalam dalam bidang masakan & kraftangan perkahwinan. Namun belum pernah mencuba untuk dipasarkan.
Melihat 2 orang anak kecil saya, Afeeq & Marsya yang berusia 2 tahun & setahun membuatkan saya bertekad untuk memulakan langkah untuk mencari tapak yang kukuh untuk berniaga. Bermula dengan mengambil kelas penulisan blog, mencari rangkaian sokongan & mencari idea untuk memulakan perniagaan talian, saya akan terus mara ke hadapan. Impian saya untuk melakukan perkerjaan dari rumah tanpa terlepas peluang melihat perkembangan pembesaran anak-anak kesayangan saya.
Ada sahabat bertanya perlukah saya berhenti kerja yang menawarkan gaji yang lumayan? Jawapan saya ya sekiranya saya mampu mencari peluang bekerja & mendidik anak di masa yang sama di rumah. Alangkah rugi melihat anak diasuh oleh orang lain. Hati ini meronta-ronta ingin mengasuh anak-anak sendiri. Kadangkala sewaktu berkerja apabila melihat pelanggan bersama anak kecil, saya akan terbayang apakah anak saya sedang lakukan ketika itu. Nilai tawa & kegembiraan anak itu lebih berharga.
Suami saya juga amat menggalakkan walaupun dia tahu saya diperlukan untuk membantunya menampung kewangan keluarga. Perancangan & persiapan yang teliti perlu dilakukan sebelum saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pekerjaan saya sekarang. Insya Allah, jika niat kita baik Allah akan buka jalan untuk kita.
Cita-cita saya juga bila sudah mencapai impian menjadi surirumah bekerja dari rumah, saya ingin membantu sahabat-sahabat saya yang mempunyai impian yang sama. Moga Allah permudahkan segala urusan saya dunia & akhirat.