Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Monday, 7 July 2014

Mengekalkan Pekerja

Teks: NurFarha Muhamad Khalit

Assalamua'laikum,
Saya ingin berkongsi mengenai teknik bagaimana hendak mengekalkan pekerja di bawah anda. Saya akan kupas mengenai kerjasama sahaja hari ini. Kupasan ini adalah berdasarkan pengalaman saya menjadi pengurus selama 8 tahun. Alhamdulillah 'turn over' pekerja saya kurang. Ada yang kekal lama dengan saya lebih 5tahun.
Kerjasama amat penting dalam sesebuah kumpulan. Walaupun kita sebagai ketua kita juga perlu turun padang & membuat pekerjaan bersama-sama. Kini saya lihat jarang ketua yang sanggup menyingsing lengan baju untuk bersama menyiapkan tugasan. Mereka hanya duduk sahaja & memberikan arahan.
Paling menyedihkan apabila arahan yang diberikan kepada pekerja yang baru tanpa memberikan panduan & apabila ada kesalahan dilakukan, dengan mudah jari menunjuk kepada pekerja baru. Mana tidaknya pekerja itu boleh bertahan. Perlu diingatkan pekerja baru perlukan panduan & seseorang yang boleh mengajar mereka. Elakkan daripada membiarkan sahaja mereka tanpa hala tuju & panduan. Ini kerana lama kelamaan motivasi mereka akan menurun.
Satu lagi situasi yang pada saya kita boleh menyiapkan tugasan walaupun kekurangan pekerja. Iaitu sebagai ketua kita boleh membuat kerja itu sementara menunggu pengganti. Kadangkala tidak salah kita memberikan tugasan itu kepada pekerja lain tetapi perlu diingat, kita perlu elakkan membebankan pekerja lain. Saya sendiri kadangkala melakukan tugasan menyapu & membersihkan lantai jualan sekiranya saya tenaga kerja saya kurang & tidak mampu disiapkan pada waktu yang singkat.
Bekerja bersama akan menimbulkan rasa hormat pekerja kepada ketua mereka. Mereka tahu tidak boleh bermain atau membuat masalah kerana ketua mereka tahu selok belok kerja.
Saya bukanlah yang terbaik tetapi inilah pengalaman saya yang menyebabkan pekerja saya boleh bertahan dengan saya. Malah pernah semasa sesi kaunseling pekerja saya yang bermasalah, dia mengatakan dia bertahan sebab dia melihat cara saya bekerja. Pernah satu ketika semasa saya mengandungkan Afeeq & kekurangan pekerja, saya sendiri mengangkat stok jualan. Dia terkesan dengan cara saya. Saya sendiri terkejut kerana hal itu sudah 3 tahun lepas tetapi dia masih ingat.
Jika anda ketua ditempat anda, marilah kita semak bersama-sama. Bagaimana cara kita bekerja? Adakah bimbingan secukupnya untuk pekerja? Adakah pekerja dibiarkan tanpa bimbingan? Adakah pekerja kita mempunyai motivasi?
Marilah kita perbetulkan kekurangan kita. Jadikan tempat kerja kita tempat yang seronok & bermotivsi untuk semua pekerja.
Selamat mencuba & senyumlah selalu.

Saturday, 5 July 2014

Amanah & Tanggungjawab.

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Beberapa hari ini agak kronik di tempat kerja tambahan ada anak buah yang mula membuat perangai tidak hadir kerja tanpa pemberitahuan. Kerja di dunia jualan ini berbeza kerana cuti kami berbeza. Jadi jadual yang saya buat amat penting untuk diikuti kerana saya telah merancang pembahagian tenaga kerja bersesuaian dengan hari & bebanan kerja.
Saya hairan kenapalah anak muda sekarang suka sangat lompat kerja. Tidak sedarkah mereka ini tidak bagus untuk resume mereka. Cuba bayangkan setahun sampai 3 atau 4 tempat kerja yang berlainan. Mesti orang yang menemuduga pun curiga & ragu untuk ambil bekerja.
Lepas itu yang sudah ada kerja pula buat perangai mana yang datang lambatnya, tidak datang kerja, mengular dan lain-lain lagi. Bila ditegur tidak boleh diterima terua berhenti terus berhenti kerja.
Saya pernah menasihatkan anak-anak buah dahulu supaya bekerja & letak matlamat. Walaupun mula dari bawah tapi kalau ada usaha & sabar, InsyaAllah akan boleh melangkah ke peringkat lebih tinggi. Sebelum berhenti kerja fikir dahulu baik buruk pekerjaan lama & yang akan diterima. Bukan ikut perasaan. Perlu juga jika dalam tempoh notis masih lagi bekerja dengan baik & berdisplin. Bukan sebab akan bekerja di tempat baru dijadikan alasan untuk membuat masalah displin.
Mungkin disebabkan mereka masih ditanggung & tiada tanggungjawab menjadikan lesen untuk mereka berbuat sesuka hati di tempat kerja. Tetapi sebagai pengurua mereka, perlulah mengingatkan mereka bahawa suatu hari nanti mereka juga akan berkeluarga & perlu bekerja keraa untuk menampung kehidupan mereka.
Mudah-mudahan Allah lembutkan hati mereka menerima teguran & nasihat.
Berfikir positif & senyumlah selalu.

Saturday, 21 June 2014

Pelanggan Diutamakan

Teks : Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Sudah masuk 8 tahun di bidang jualan. Perkara yang paling penting adalah pelanggan. Mana-mana syarikat jualan akan meletakkan pelanggan dahulu & pelanggan sentiasa betul (customer is always right). Namun ada kalanya kesalahan adalah dari pihak pelanggan. Bagaimana untuk kita menguruskan hal demikian?
1. Apabila menyedari masalah disebabkan pelanggan janganlah menunding jari kepada mereka.
2. Walaupun mungkin anda marah dengan situasi itu jangan sekali-kali meninggikan suara. Layan mereka dengan baik.
3. Selesaikan masalah tanpa merumitkan lagi mereka. Permudahkan penyelesaian bagi pelanggan anda. Semakin anda merumitkan penyelesaian, semakin rumit nanti keadaannya malah ini meyebabkan pelanggan anda hilang rasa boleh percaya kepada anda.Kemungkinan ada penyelesaian melibatkan kerugian contohnya menggantikan barang tetapi mungkin pelanggan itu akan melihat keikhlasan anda membantunya. Siapa tahu inilah yang akan jadi pelanggan setia anda.
Dalam dunia jualan adalah perkara biasa untuk perkara ini berlaku namun kita kena bijak menguruskan situasi ini. Jika anda berjaya menyelesaikannya ia akan menjadi panduan kepada anda jika masalah yang sama berulang.
Selamat mencuba & senyumlah selalu.

Thursday, 12 June 2014

Pengurusan Masa

Teks : Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Hari ini saya ke oulet lain untuk menampung kekurangan kakitangan. Sekali sekala ada peluang untuk bertukar angin dapat ambil pengalaman di oulet lain. Saya tiba awal sejam. Sementara itu kemaskini & bersarapan di dalam kereta. Saya bertolak awal kerana risau lambat. Kalau pergi kerja atau bertemujanji dengan orang lain pun saya akan sampai awal setengah jam. Ayah saya mengajar kita perlu menepati masa & sampai awal sebelum waktunya. Alhamdulillah saya amalkan & semoga saya istiqomah mengamalkannya.
Pengurusan masa amat penting. Saya selalu menegur pekerja saya jika mereka lewat. Selalunya mesti alasan terlewat bangun. Kadangkala ada yang bangun 8.30 pagi setiap hari walaupun waktu masuk kerja 9.00pagi. Sudah jadi tabiat. Kadang kala ada antara mereka yang tidur lewat melayari internet. Itulah penyebab mereka terlajak tidur. Kebanyakan pekerja saya bujang jadi tiada alasan untuk mereka lewat kerana hanya menguruskan diri sendiri.
Saya menekankan kepada mereka pengurusan masa amat penting terutama jika ingin pergi jauh dalam pekerjaan. Tiada majikan yang mahukan pekerja yang datang lewat & tidak menepati masa. Mereka juga perlu ubah tabiat bangun lewat & tiba betul-betul pada waktunya. Mereka perlu ada sengang masa paling minimum 15 minit sebelum masuk kerja. Manalah tahu ada perkara yang tidak diingini berlaku contohnya kesesakan trafik atau sebagainya.
Alhamdulillah ada antara mereka yang berubah tetapi ada yang masih perlu diingatkan juga.
Masa itu adalah amat berharga jika kita sebenarnya jika kita bijak mengurus masa tiada istilah tiada masa dalam hidup kita.

Berfikirlah positif & senyumlah selalu.

Wednesday, 11 June 2014

Hormati Guru Anda.

Teks : Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Saya baru sahaja menghantar Afeeq & Marsya ke taska. Di masa menghantar saya teringat waktu saya menjadi guru sandaran dahulu di sekolah saya sendiri. Sekolah itu memang terkenal dengan rekod buruk sewaktu itu.  Ramai pelajarnya terlibat dengan pelbagai masalah displin seperti ponteng, bergaduh, lewat masuk kelas & pelbagai lagi.
Sewaktu berstatus pelajar di sekolah itu saya di kelas sains tulen. Pelajar melayu agak kurang di kelas sains tulen. Boleh dikira. Saya bergaul dengan semua orang tidak kira yang ada masalah pun saya tetap berkawan. Berkawan tidak salah asalkan kita ada pendirian & tidak terjebak sama.
Saya pernah belajar bersama dengan mereka di kelas yang bawah. Saya hairan mengapa soalan matematik SPM yanga asas pun mereka tidak tahu hendak selesaikan. Saya pun beranikan diri bertanya. Lalu mereka menjawab cikgu tidak mengajar mereka. Pada masa itu saya agak marah mengapa ada cikgu seperti itu.
Selang setahun saya habis belajar di matrikulasi, saya dipanggil oleh cikgu biologi saya untuk menjadi guru sementara menggantikan seorang cikgu yang cuti bersalin. Pada masa itulah saya tahu jawapan mengapa ada cikgu bersikap demikian. Ini kerana pelajar sudah hilang hormat pada cikgu mereka. Bayangkan di dalam kelas saya terpaksa menjerit untuk mengajar kerana ada di kalangan pelajar yang boleh bersembang lagi walaupun berulang kali ditegur. Sampai suatu ketika saya mengajar dengan suara yang perlahan untuk melihat reaksi mereka. Cuba teka apa terjadi? Mereka senyap mungkin hairan mengapa saya bertindak sedemikian. Tetapi selepas itu bersembang semula. Paling saya kasihankan adalah pelajar yang ingin belajar, terganggu disebabkan sikap tidak bertanggungjawab rakan yang lain.
Pernah suatu ketika seorang cikgu masuk ke bilik guru menangis.  Lalu saya bertanya mengapa, rupanya ada seorang pelajar boleh menerjah guru tersebut & mempermainkannya. Lalu guru itu dijadikan bahan gurauan.
Sebulan sahaja saya menjadi guru. Hari terakhir saya adalah pada tanggal 16 Mei iaitu Hari Guru. Saya tidak sangka ada akan mendapat hadiah, maklumlah baru sebulan. Rupanya ada juga yang memberikan hadiah. Mereka tersentuh dengan saya. Saya pernah membuat 1 sesi hati ke hati. Ala-ala motivasi begitu yang cuba bayangkan ibu melahirkan & bagaimana ayah menyara keluarga. Niat sya untuk menyedarkan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh. Alhamdulillah ada yang terasa di hati mereka & mengalirkan air mata. Tetapi yang menghairankan ada pula yang boleh tertawa. Lalu saya selidiki mengapa ada yang tidak endah. Jawapannya ada antara mereka yang daripada keluarga yang bermasalah.  Mereka sudah hilang rasa hormat kepada ibu bapa mereka sendiri. Hendak menyalahkan pelajar pun rasa tidak boleh. Ibu bapa memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dari rumah.
Bila terfikir perkara ini, ia jadi pengajaran buat diri saya untuk mendidik & mengasuh anak-anak untuk menghormati orang lain terutama mereka yang memberikan ilmu kepada mereka.

Berfikir positif & senyumlah selalu.

Saturday, 7 June 2014

Bekerja Bersama-sama

Tek : Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Alhamdulillah, diberikan lagi kesempatan untuk berkongsi pengalaman saya dengan anda semua.  Ada sahabat tertanya-tanya bagaimana saya mengekalkan pekerja di bawah pengurusan saya. Maklum sajalah tidak ramai yang bertahan dalam bidang jualan atau retail ini. Ini kerana kebanyakan pekerja saya telah lama bekerja bersama saya. Ada yang mencecah 5 tahun iaitu sejak saya mula bekerja dengan mereka lagi. Saya kongsikan 1 tips kali ini iaitu bukan sahaja bekerjasama tapi bekerja bersama-sama.
Sebagai ketua kita ada masanya perlulah bekerja bersama-sama dengan pekerja kita. Elakkan rasa malu hendak bersama mereka. Ini kerana ada di kalangan kita malu untuk melakukan kerja mereka. Pada saya tidak salah kadang kala kita jika kekurangan pekerja, kitalah yang sepatutnya membantu mereka menyiapkan tugasan. Janganlah hanya membebankan mereka tetapi menyelidik kemampuan mereka untuk menerima tugasan yang banyak.
Pengalaman saya pada mulanya di tempat baru agak susah untuk mendapatkan kerjasama daripada pekerja lama. Lalu saya terfikir saya perlu bekerja bersama mereka untuk saling memahami antara satu sama lain. Malah saya yang banyak belajar daripada mereka. Akhirnya mereka melihat kesungguhan saya & mula timbul rasa hormat. Kami juga boleh bekerja dalam satu pasukan tanpa rasa segan lagi.
Selamat mencuba & senyumlah selalu.

Wednesday, 4 June 2014

Status FB Melambangkan Penggunanya.

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Hari ini saya hendak berkongsi tentang mengemaskini status di Facebook boleh mempengaruhi seseorang.
Saya aktif di laman Facebook setelah kegagalan rumahtangga yang pertama. Disebabkan saya terlalu tertekan & kecewa, saya selalu mengemaskinikan status yang negatif. Status saya selalunya berkisar kekecewaan,  putus asa & menagih simpati orang lain. Selepas itu saya ditegur oleh sepupu saya. Dia menasihati saya untuk tidak mengeluarkan status seperti itu lagi. Pada mulanya saya tidak boleh terima, tetapi saya cuba mengikut nasihatnya.
Bermula saat itu, saya mula mengeluarkan status yang positif seperti hari ini lebih bersemangat atau status yang gembira. Ramai yang like berbanding dahulu. Seolah-olah sokongan semangat untuk saya. Alhamdulillah hari demi hari saya berubah lebih ceria & bersemangat.
Akhirnya lembaran kisah baru bermula & hati sata terbuka untuk berkahwin & dikurniakan dua orang anak.
Sekarang lebih banyak memerhati status orang lain di laman Facebook. Ada yang positif & negatif. Berfikirlah panjang untuk mengeluarkan status anda. Ini kerana kadangkala ada majikan yang menggunakan laman sosial untuk membuat saringan pekerja. Jika anda selalu mengemaskinikan status yang kecewa, marah & memberikan komen negatif kepada orang lain, majikan akan berfikir banyak kali untuk mengambil anda. Ini kerana mereka tahu anda bermasalah.
Laman Facebook bukanlah tempat untuk meluahkan kekecewaan dalan perhubungan kerana jika anda berbuat demikian anda menunjukkan diri anda lemah. Belajar mengawal emosi semasa mengemaskini status anda.
Elakkan laman sosial menjadi medan pertengkaran & pergaduhan.  Ini menunjukkan mentaliti seseorang. Berfikir secara rasional  & jangan melulu memberikan komen hingga menimbulkan pergaduhan. Gunakan laman sosial sebagai pengikat silaturahim & medan untuk bertukaran idea secara sihat.
Berfikirlah positif & senyumlah selalu.

Saturday, 31 May 2014

Kad Kredit

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit

Assalamualaikum
Alhamdulillah pagi yang indah hari ini. Rutin mengemaskini blog & FB dulu. Ramai tertanya-tanya kenapa saya hendak mencari pendapatan lain sedangkan gaji sebagai pengurus sudah mencukupi. Ingin saya kongsikan sesuatu di sini mengenai pengalaman saya yang menyebabkan saya memerlukan duit tambahan untuk menampung keperluan.
Kad kredit adalah punca utama kenapa saya masih memerlukan pendapatan sampingan. Pada mulanya memanglah senang untuk memohon kad kredit. Lepas itu apa sahaja hendak dibeli. Walaupun ketika itu duit tiada. Seolah-olah beli tiada batasan. Namun lama kelamaan ia memakan diri. Ini kerana hutang kad kredit ini akan bertambah kerana caj akan dikenakan kepada baki hutang itu & yuran tahunan. Ini adalah pengajaran yang amat berguna. Alhamdulillah kini cuma tinggal sedikit sahaja hendak dilangsaikan.
Kebanyakan orang muda sekarang diisytiharkan musflis & menghadapi masalah kewangan disebabkan kad kredit. Pengunaan yang tidak tentu & perasaan untuk membeli tidak terhad kerana sudah tersemat dalam minda ada kad kredit.
Penggunaan kad kredit ada baik & buruknya. Yang baiknya adalah di waktu kecemasan di mana kita memerlukan kewangan disebabkan kemalangan atau sebagainya. Namun adalah lebih baik kita menguruskan kewangan dengan menyimpan duit untuk perkara yang perkara kecemasan.
Oleh itu jika ingin memohon kad kredit atau ditawarkan kad kredit, berfikirlah dahulu. Jangkamasa pendek memanglah seronok tetapi jangka masa panjang akan membebankan kita. Jangan terpedaya dengan apa yang ditawarkan kerana kelak akan memakan diri jika kita tidak pandai menguruskankan penggunaan kad kredit.
Oleh itu marilah kita menguruskan kewangan dengan baik. Berfikirlah positif & senyumlah selalu.

Friday, 23 May 2014

Aduan anda diterima.

Teks: Nur Farha Muhamad Khalit.

Assalamualaikum
Aduan perkara yang paling tidak disenangi oleh kita. Pengalaman bekerja dalam bidang jualan memang tidak lari dari aduan pelanggan. Aduan sebenarnya benda yang positif. Ini kerana terdapat tindak balas & kita tahu pelanggan itu menyedari kewujudan perniagaan kita.
Realiti aduan selalu terjadi terhadap kualiti khidmat pelanggan kita, produk kita, persekitaran kita. Atau kadangkala pelanggan ingin menguji kita.
Aduan adalah positif kerana pelanggan mengambil berat tentang perniagaan kita. Pelanggan ingin kita melihat apa kekurangan kita & memperbaikinya.  Tidak hairan satu hari nanti pelanggan yang mengadu ini menjadi pelanggan yang setia.
Kadangkala kita silap menilai pelanggan dengan menganggap bila tiada aduan pelanggan sudah berpuasa hati dengan kita. Tanpa kita sedar kadangkala yang tidak mengadu kerana mereka sudah tidak mahu berurusan dengan kita.
Oleh kerana itu kita perlu menitikberatkan aduan pelanggan untuk meningkatkan kualiti khidmat pelanggan, produk atau sebagainya.
Berfikirlah dan berhadapan dengan aduan pelanggan dengan cara yang positif.


Monday, 19 May 2014

Mengenali Diriku


Teks: Nur Farha Muhamad Khalit
Assalamualaikum.
Ini kali pertama menulis di blog. Agak risau dengan penerimaan orang tentang penulisan orang baru seperti saya. Namun saya beranikan jua.
Saya mendapat pendidikan awal di Johor Bahru. Kemudian dapat melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka. Nasib saya baik kerana walaupun keputusan kurang baik saya dapat menempatkan diri di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Pemakanan. Mungkin doa arwah emak setiap kali marah mesti perkataan bertuah punya anak itu termakbul. Pada tahun akhir saya mula rasa tidak sihat. Suara saya hilang akibat batuk berpanjangan. Tapi saya gagahkan jua untuk menamatkan pengajian. Setelah kembali ke Johor Bahru saya disahkan menghidap tibi. Pada masa itu hancur luluh rasa hati. Mana ada majikan mahu ambil saya bekerja. Kebetulan pada masa itu ada kursus bidang sama peringkat sarjana dibuka. Tanpa berfikir panjang saya melanjutkan pelajaran selama setahun. Alhamdulillah saya berjaya memegang Sarjana Sains Pemakanan.
Bermula bekerja dari bawah sebagai pembantu farmasi di salah sebuah rantaian farmasi di Johor Bahru. Tidak lama kemudian mendapat tawaran sebagai Retail Management Trainee di rangkaian kedai kecantikan & kesihatan yang kukuh di Malaysia. Rezeki saya bertambah bila ditawarkan jawatan Pembantu Pengurus di syarikat pasaraya besar. Dengan pengalaman di tempat lama, saya ditempatkan dalam jabatan yang berkaitan kesihatan & kecantikan. Selama 3 tahun saya dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus.
Walaupun asas bidang jualan & pengurusan tiada, saya belajar daripada kerja seharian. Bekerja dari bawah mengenali barang jualan, fungsi produk digabungkan dengan ilmu sains pemakanan saya berjaya memberi nasihat kepada pelanggan. Satu kepuasan bagi saya dapat memberikan layanan & nasihat kepada pelanggan walaupun tidak membeli.
Pernah satu masa saya ditempatkan di sebuah cawangan di Mersing yang jauh dari cawangan lain. Ada perkara terpaksa dilakukan sendiri tanpa bantuan tapi saya cuba lakukan. Saya bersyukur kerana Allah memberikan saya jalan mudah untuk setiap perkara yang susah. Apa yang penting jangan mudah melatah. Teliti dahulu permasalahan, analisa & fikirkan penyelesaian.  Setiap penyelesaian perlu difikirkan risiko. Setelah itu kita perlu ambil keputusan dan analisa kembali keputusan itu. Itu yang saya amalkan.
Saya banyak menguruskan hal pentadbiran, sumber manusia, budget, cara mempromosikan barang. Sebenarnya paling susah adalah pengurusan sumber manusia. Bagaimana untuk mengekalkan staf dan mengurangkan kadar staf berhenti itu perlu dititikberatkan. Saya rasa bersyukur kerana saya tidak mengalami masalah ini. Ini kerana Allah telah memberikan saya keistimewaan utuk memimpin dengan baik. Sebenarnya dari zaman sekolah hinggalah di menara gading saya seorang yang aktif dalam persatuan. Masih ingat lagi setiap malam ketika orang lain sibuk menelaah di kolej, saya sibuk bermesyuarat hingga lewat malam. Walaupun penat tapi itulah kepuasan saya memberikan buah fikiran kepada persatuan saya.
Saya berminat berniaga. Kadangkala terfikir untuk memulakan perniagaan tapi kekangan waktu dengan kerja & keluarga membuatkan semua separuh jalan. Saya pernah menjual tudung yang dibeli secara borong dalam talian tapi mengalami masalah lambakan stok.
Minat saya juga amat mendalam dalam bidang masakan & kraftangan perkahwinan. Namun belum pernah mencuba untuk dipasarkan.
Melihat 2 orang anak kecil saya, Afeeq & Marsya yang berusia 2 tahun & setahun membuatkan saya bertekad untuk memulakan langkah untuk mencari tapak yang kukuh untuk berniaga. Bermula dengan mengambil kelas penulisan blog, mencari rangkaian sokongan & mencari idea untuk memulakan perniagaan talian, saya akan terus mara ke hadapan. Impian saya untuk melakukan perkerjaan dari rumah tanpa terlepas peluang melihat perkembangan pembesaran anak-anak kesayangan saya.
Ada sahabat bertanya perlukah saya berhenti kerja yang menawarkan gaji yang lumayan? Jawapan saya ya sekiranya saya mampu mencari peluang bekerja & mendidik anak di masa yang sama di rumah. Alangkah rugi melihat anak diasuh oleh orang lain. Hati ini meronta-ronta ingin mengasuh anak-anak sendiri. Kadangkala sewaktu berkerja apabila melihat pelanggan bersama anak kecil, saya akan terbayang apakah anak saya sedang lakukan ketika itu. Nilai tawa & kegembiraan anak itu lebih berharga.
Suami saya juga amat menggalakkan walaupun dia tahu saya diperlukan untuk membantunya menampung kewangan keluarga. Perancangan & persiapan yang teliti perlu dilakukan sebelum saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pekerjaan saya sekarang. Insya Allah, jika niat kita baik Allah akan buka jalan untuk kita.
Cita-cita saya juga bila sudah mencapai impian menjadi surirumah bekerja dari rumah, saya ingin membantu sahabat-sahabat saya yang mempunyai impian yang sama. Moga Allah permudahkan segala urusan saya dunia & akhirat.