Monday 19 May 2014

Mengenali Diriku


Teks: Nur Farha Muhamad Khalit
Assalamualaikum.
Ini kali pertama menulis di blog. Agak risau dengan penerimaan orang tentang penulisan orang baru seperti saya. Namun saya beranikan jua.
Saya mendapat pendidikan awal di Johor Bahru. Kemudian dapat melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka. Nasib saya baik kerana walaupun keputusan kurang baik saya dapat menempatkan diri di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Pemakanan. Mungkin doa arwah emak setiap kali marah mesti perkataan bertuah punya anak itu termakbul. Pada tahun akhir saya mula rasa tidak sihat. Suara saya hilang akibat batuk berpanjangan. Tapi saya gagahkan jua untuk menamatkan pengajian. Setelah kembali ke Johor Bahru saya disahkan menghidap tibi. Pada masa itu hancur luluh rasa hati. Mana ada majikan mahu ambil saya bekerja. Kebetulan pada masa itu ada kursus bidang sama peringkat sarjana dibuka. Tanpa berfikir panjang saya melanjutkan pelajaran selama setahun. Alhamdulillah saya berjaya memegang Sarjana Sains Pemakanan.
Bermula bekerja dari bawah sebagai pembantu farmasi di salah sebuah rantaian farmasi di Johor Bahru. Tidak lama kemudian mendapat tawaran sebagai Retail Management Trainee di rangkaian kedai kecantikan & kesihatan yang kukuh di Malaysia. Rezeki saya bertambah bila ditawarkan jawatan Pembantu Pengurus di syarikat pasaraya besar. Dengan pengalaman di tempat lama, saya ditempatkan dalam jabatan yang berkaitan kesihatan & kecantikan. Selama 3 tahun saya dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus.
Walaupun asas bidang jualan & pengurusan tiada, saya belajar daripada kerja seharian. Bekerja dari bawah mengenali barang jualan, fungsi produk digabungkan dengan ilmu sains pemakanan saya berjaya memberi nasihat kepada pelanggan. Satu kepuasan bagi saya dapat memberikan layanan & nasihat kepada pelanggan walaupun tidak membeli.
Pernah satu masa saya ditempatkan di sebuah cawangan di Mersing yang jauh dari cawangan lain. Ada perkara terpaksa dilakukan sendiri tanpa bantuan tapi saya cuba lakukan. Saya bersyukur kerana Allah memberikan saya jalan mudah untuk setiap perkara yang susah. Apa yang penting jangan mudah melatah. Teliti dahulu permasalahan, analisa & fikirkan penyelesaian.  Setiap penyelesaian perlu difikirkan risiko. Setelah itu kita perlu ambil keputusan dan analisa kembali keputusan itu. Itu yang saya amalkan.
Saya banyak menguruskan hal pentadbiran, sumber manusia, budget, cara mempromosikan barang. Sebenarnya paling susah adalah pengurusan sumber manusia. Bagaimana untuk mengekalkan staf dan mengurangkan kadar staf berhenti itu perlu dititikberatkan. Saya rasa bersyukur kerana saya tidak mengalami masalah ini. Ini kerana Allah telah memberikan saya keistimewaan utuk memimpin dengan baik. Sebenarnya dari zaman sekolah hinggalah di menara gading saya seorang yang aktif dalam persatuan. Masih ingat lagi setiap malam ketika orang lain sibuk menelaah di kolej, saya sibuk bermesyuarat hingga lewat malam. Walaupun penat tapi itulah kepuasan saya memberikan buah fikiran kepada persatuan saya.
Saya berminat berniaga. Kadangkala terfikir untuk memulakan perniagaan tapi kekangan waktu dengan kerja & keluarga membuatkan semua separuh jalan. Saya pernah menjual tudung yang dibeli secara borong dalam talian tapi mengalami masalah lambakan stok.
Minat saya juga amat mendalam dalam bidang masakan & kraftangan perkahwinan. Namun belum pernah mencuba untuk dipasarkan.
Melihat 2 orang anak kecil saya, Afeeq & Marsya yang berusia 2 tahun & setahun membuatkan saya bertekad untuk memulakan langkah untuk mencari tapak yang kukuh untuk berniaga. Bermula dengan mengambil kelas penulisan blog, mencari rangkaian sokongan & mencari idea untuk memulakan perniagaan talian, saya akan terus mara ke hadapan. Impian saya untuk melakukan perkerjaan dari rumah tanpa terlepas peluang melihat perkembangan pembesaran anak-anak kesayangan saya.
Ada sahabat bertanya perlukah saya berhenti kerja yang menawarkan gaji yang lumayan? Jawapan saya ya sekiranya saya mampu mencari peluang bekerja & mendidik anak di masa yang sama di rumah. Alangkah rugi melihat anak diasuh oleh orang lain. Hati ini meronta-ronta ingin mengasuh anak-anak sendiri. Kadangkala sewaktu berkerja apabila melihat pelanggan bersama anak kecil, saya akan terbayang apakah anak saya sedang lakukan ketika itu. Nilai tawa & kegembiraan anak itu lebih berharga.
Suami saya juga amat menggalakkan walaupun dia tahu saya diperlukan untuk membantunya menampung kewangan keluarga. Perancangan & persiapan yang teliti perlu dilakukan sebelum saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pekerjaan saya sekarang. Insya Allah, jika niat kita baik Allah akan buka jalan untuk kita.
Cita-cita saya juga bila sudah mencapai impian menjadi surirumah bekerja dari rumah, saya ingin membantu sahabat-sahabat saya yang mempunyai impian yang sama. Moga Allah permudahkan segala urusan saya dunia & akhirat.

No comments: